Peringatan!!!!

Peringatan :- Maaf, Fakta perubatan yang dikongsikan ini hanya satu research dan tinjauan pihak admin di website yang tersedia.... Oleh demikian, keberkesanan ubat yang dikeluarkan adalah dibawah tanggungjawab pihak yang ingin mencuba dan pengeluar produk. Adalah dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat Doktor Pakar tentang kandungan ubat dan kesan. Pihak admin tidak bertanggungjawab sekiranya memberi kesan sampingan atau memudaratkan diri menjadi lebih teruk. Kita dikehendaki mencari penawar tetapi kita juga perlu berhati-hati dengan semua produk jualan langsung. Harap para pembaca dan pengunjung blog akan berhati-hati. Dapatkan maklumat yang tepat dan dijamin selamat baru mencuba. Insyallah akan ada penawarnya. Blog ini tidak mempromosi atau terlibat dengan pihak2 berkepentingan ataupun mengambil kesempatan cuma berkongsi bahan cerita.

Wednesday 21 March 2012

Renungan :- Hinanya menjadi pesakit Hepatitis

Kesihatan (Keratan dari Utusan Malaysia tarikh 3/6/07)

Hinanya menjadi pesakit Hepatitis
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

LULUH hati Saudah Haron, 39, apabila doktor yang bakal menyambut kelahiran anaknya mengambil masa yang begitu lama untuk memakai sarung tangan – satu demi satu demi satu, sehingga tiga lapis kesemuanya.

Sedangkan kepala bayinya sudah terkeluar paras leher. Suaminya yang turut berada di dalam bilik bersalin mulai berasa cemas.

Isteri kesayangannya sudah hilang tenaga dan nyawa-nyawa ikan tetapi doktor tersebut masih lagi leka dengan sarung tangan getahnya. Jururawat pula melihat sahaja dari kejauhan.

‘‘Ini tidak boleh jadi,’’ getus Kamaruzaman Zakaria, 48, di dalam hati. Dalam suasana yang tambah kelam-kabut itu, dia menghampiri si isteri. ‘‘Saudah, Saudah, mengucap Saudah.’’

Dia mesti bertindak segera setelah wajah anak ketujuhnya yang baru hendak menjengah dunia itu mulai tampak kebiru-biruan. Dan berbekalkan serba sedikit petua orang kampung yang dia tahu, Kamaruzaman akhirnya berjaya membidankan isterinya dengan selamat.

‘‘Pada masa itu, saya tidak ingat apa-apa lagi. Yang saya tahu, nyawa mereka berdua perlu diselamatkan. Kini, anak bongsu kami sudah pun mencecah usianya empat tahun,’’ Kamaruzaman mengimbas kembali detik cemas itu di samping si isteri yang setia menemani.

Tiba giliran Saudah pula mengenangkan insiden di dalam bilik bersalin awal 2003 lalu. Di tengah-tengah kesakitan hendak bersalin itu, doktor mengesahkan pula Saudah sebagai pembawa hepatitis B.

Hepatitis bermaksud keradangan hati yang lazimnya menyebabkan hati membengkak dan terasa lembut. Pembawa Hepatitis B kelihatan sihat tetapi mampu secara senyap-

senyap menjangkiti orang lain.

‘‘Aduhai, kenapa masa itu pula berita itu disampaikan sedangkan saya sudah beberapa kali mengambil darah semasa ujian rutin kehamilan.

‘‘Saya rasa hina sangat masa tu. Begitu fobianya doktor itu hendak menyentuh saya serta bayi yang tidak tahu apa-apa. Mungkin kerana trauma dan berjauh hati, saya nekad mengikat rahim selepas habis tempoh pantang.

‘‘Saya bimbangkan keselamatan anak-anak yang bakal lahir selepas ini kerana doktor dan jururawat benar-benar meyakinkan saya bahawa penyakit ini tiada penawarnya,’’ katanya.

Siapa yang tidak takut kalau mendapat penyakit yang boleh menyebabkan komplikasi seperti kanser hati dan sirosis (penyakit kronik yang berlaku secara perlahan-lahan di mana sel hati dimusnahkan secara beransur-ansur) seperti itu.

Saudah dan suami yang baru sampai dari Kuala Lipis, Pahang, pagi yang sama temu bual diadakan di Kajang, Selangor itu bercerita lagi. Sebagai langkah awal, doktor mengarahkan agar suami dan kesemua anaknya dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan darah bagi mengesan virus Hepatitis B.

‘‘Doktor mendapati saya selamat tetapi dua anak kami iaitu yang sulung dan anak kelima, disahkan positif,’’ celah Kamaruzaman.

Beliau yang juga guru di salah sebuah maktab perguruan mendakwa, dia dan isteri mendapat layanan serupa daripada seorang doktor lain yang memeriksa anak sulungnya (ketika itu masih menuntut di salah sebuah sekolah agama berasrama di Johor).

‘‘Mata anak saya sudah nampak kekuning-

kuningan. Doktor tersebut berulangkali menyatakan penyakit ini tiada ubatnya, tiada ubatnya. Malah, dia mencabar bahawa kami tidak akan berjumpa penawarnya.

‘‘Sebagai seorang Muslim saya percaya, segala penyakit yang ada di muka bumi ini ada ubatnya kecuali mati. Cuma masanya sahaja yang belum tiba,’’ kata si suami lagi.

Saudah turut menceritakan layanan yang diterima oleh anaknya di sekolah apabila doktor berkenaan telah turun padang dan memaklumkan pihak sekolah tentang status anaknya sebagai pembawa hepatitis B.

Tanpa menafikan niat doktor itu yang baik bagi mengelakkan para pelajar lain daripada terjangkit, si ibu turut mengimbas kembali tekanan yang dihadapi oleh anaknya di ambang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Anak itu hanya tahu menangis. Rasa rendah dirinya menjadi-jadi. Dia tidak membenarkan kawan-kawannya berkongsi makanan mahupun menyedut air dari straw yang sama walaupun sebelum ini mereka tidak kisah.

‘‘Jangan, nanti kau akan sakit macam aku,’’ Saudah mengingat kembali dialog yang dituturkan oleh anaknya. Bagaimanapun, kawan tersebut adalah seorang sahabat sejati.

Dia tetap menggunakan straw yang sama kerana katanya: ‘‘Biarlah kita susah sama susah. Nak berjangkit atau tidak, semua itu urusan Tuhan,’’ dan mereka berpelukan dalam tangis.

Di rumahnya pula, Saudah mengambil langkah berjaga-jaga. Dia tidak menyusukan bayinya dan berasa janggal tidak dapat berbuat demikian kerana sebelum ini, dia menyusukan anak-anaknya sehingga masing-masing berumur lebih dua tahun.

Saudah juga tidak berkongsi makanan dengan ahli keluarganya. Kalau dahulu dia menyuapkan makanan ke mulut cahaya matanya, tetapi kini tidak lagi. Makanan yang tidak habis dimakannya akan terbuang begitu sahaja.

Saudah juga akan memastikan berus giginya tidak digunakan oleh orang lain kerana ia boleh memindahkan virus itu kepada mereka.

Dia juga lebih berhati-hati supaya tidak luka dan berdarah. Ini kerana, kebanyakan jangkitan adalah disebabkan oleh pemindahan darah yang mengandungi virus.

Memang sudah rezeki Saudah apabila pada suatu hari tatkala menatap majalah kegemaraannya Mastika, dia turut membelek helaian yang memaparkan kisah seorang pesakit Hepatitis B kronik iaitu Arumugam, yang beransur sihat.

Dia terus menyuakan majalah itu kepada suaminya dengan niat untuk mencuba rawatan yang boleh membantu keadaan mereka itu.

‘‘Syukur alhamdulillah, setelah beberapa ketika, keputusan darah kami tiga beranak adalah negatif. Kami bebas daripada kuman hepatitis B.

‘‘Doktor yang merawat anak saya di Johor juga terperanjat dengan hasil pemeriksaan darah yang dilakukannya ke atas anak saya,’’ kata Saudah gembira. Walaupun tidak dapat menatap senyumannya, kebahagiaan jelas terpancar dari sinar sepasang matanya yang jernih, di sisi suaminya itu.


sumber :- http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=3452

No comments:

Post a Comment