Peringatan!!!!

Peringatan :- Maaf, Fakta perubatan yang dikongsikan ini hanya satu research dan tinjauan pihak admin di website yang tersedia.... Oleh demikian, keberkesanan ubat yang dikeluarkan adalah dibawah tanggungjawab pihak yang ingin mencuba dan pengeluar produk. Adalah dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat Doktor Pakar tentang kandungan ubat dan kesan. Pihak admin tidak bertanggungjawab sekiranya memberi kesan sampingan atau memudaratkan diri menjadi lebih teruk. Kita dikehendaki mencari penawar tetapi kita juga perlu berhati-hati dengan semua produk jualan langsung. Harap para pembaca dan pengunjung blog akan berhati-hati. Dapatkan maklumat yang tepat dan dijamin selamat baru mencuba. Insyallah akan ada penawarnya. Blog ini tidak mempromosi atau terlibat dengan pihak2 berkepentingan ataupun mengambil kesempatan cuma berkongsi bahan cerita.

Monday 12 March 2012

Pengenalan : Hepatitis

Hepatitis kesan melalui ujian darah

KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Mohd. Ismail Marican baru-baru ini menyarankan agar penerima darah pada tahun 1995 menjalani ujian darah semula bagi mengesan virus hepatitis C yang boleh mengakibatkan barah hati. Bagaimanapun sejak tahun tersebut, pihak hospital di negara ini telah pun mengambil tindakan memeriksa semua darah sebelum pemindahan darah dilakukan. Biarpun peratus mendapatkan kanser hati itu adalah kecil namun perlu diingat hepatitis tidak mengira A, B atau C itu merupakan penyerang senyap.

Hepatitis merupakan istilah umum merujuk inflamasi hati disebabkan oleh pengambilan alkohol secara berlebihan, bahan kimia bertoksik, pemakanan tidak sihat, sesetengah jenis dadah, penyakit autoimun, penyakit sistem biliari dan jangkitan infeksi virus.

Penyakit hepatitis yang paling lazim berlaku ialah hepatitis A, B dan C.

Apa itu hepatitis C

Virus Hepatitis C (HCV) merupakan penyebab utama hepatitis yang disebarkan melalui pemindahan darah. Pakar Perubatan Am dan Respiratori, Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Dr. Fazilah Ahmad berkata, oleh sebab tiada tanda-tanda klinikal yang jelas pada tahap awal jangkitan, kebanyakan orang tidak menyedari mereka telah dijangkiti virus ini. ``Selepas tiga hingga enam bulan dijangkiti, virus akan berganda dengan cepat dan sistem pertahanan akan menghasilkan antibodi untuk melawannya. ``Walau bagaimanapun, virus ini tidak dapat disingkirkan sepenuhnya dan menjadi penghuni jangka panjang dalam badan,'' katanya.

Dianggarkan, 75 hingga 85 peratus penghidap HCV boleh mendapat jangkitan yang kronik manakala 70 peratus daripada mereka akan mengalami penyakit hati yang kronik. Sebanyak 10 hingga 20 peratus penghidap hepatitis kronik boleh mendapat sirosis atau bengkak hati. Menurutnya, sirosis lazimnya berlaku dalam tempoh 20 tahun atau lebih. Satu hingga lima peratus penghidapnya maut akibat penyakit hati kronik yang berkaitan dengan HCV.

Hepatitis C, mungkin serius bagi sesetengah orang tetapi tidak pada yang lain. Kebanyakan pembawa penyakit ini akan membawanya hingga ke akhir hayat. ``Penghidap akan berasa letih lesu dan segeralah mendapatkan ujian darah untuk rawatan selanjutnya. Walaupun anda tidak ada tanda-tanda letih lesu, anda juga digalakkan melakukan ujian darah. ``Mereka perlu berjumpa doktor secara berkala, tidak mengambil alkohol, tidak memulakan sebarang ubat-ubatan termasuk herba tanpa mendapat kelulusan doktor dan mendapat suntikan vaksin hepatitis A sebagai satu langkah pencegahan agar pesakit tidak dijangkiti virus Hepatitis A untuk mengurangkan risiko kerosakan hati,'' katanya lagi. Terdapat ubat-ubatan yang diluluskan untuk mereka yang menghidap hepatitis C ini. Dua hingga tiga orang daripada sepuluh pesakit hepatitis dapat disembuhkan.
 
Berisiko tinggi

Hepatitis C disebarkan melalui pemindahan darah atau produk darah yang lain seperti penerima transfusi darah, penerima organ yang menerima organ yang dijangkiti oleh virus hepatitis C, pesakit haemodialisis dan penagih dadah yang menggunakan jarum suntikan yang dijangkiti. Transmisi melalui seksual dan daripada ibu mengandung kepada bayi kurang berbanding dengan hepatitis B. Selain daripada transfusi darah dan produk darah, terdapat 40 hingga 50 peratus pesakit hepatitis C yang tidak diketahui punca jangkitan. Mereka dipanggil sebagai jangkitan sporadik. Pesakit hepatitis C boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Mereka boleh berkahwin dan mengandung .

Kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti penyakit ini kelihatan sihat untuk tempoh beberapa tahun. Kajian perlu dilakukan untuk memerhati keadaan kanak-kanak ini pada masa akan datang. ``Hepatitis C tidak disebarkan melalui penyusuan ibu, bersin, sentuhan kasual, berkongsi minuman atau makanan, berpelukan dan batuk. Tidak ada vaksin untuk hepatitis C,'' jelas Dr. Fazilah.


Hepatitis B

Penyakit ini merupakan yang paling biasa berbanding A dan C, berpunca daripada jangkitan virus hepatitis B. Kadangkala ia boleh membawa kepada kerosakan hati kekal dan mempunyai kadar kematian tertinggi.  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sekitar 300 juta penduduk dunia menghidap penyakit ini. Di Malaysia terdapat 1.3 juta rakyatnya menghidap hepatitis B. Gejala-gejalanya; demam, tiada selera makan, termasuk tidak selera merokok, letih lesu, kulit menjadi kuning, air kencing kuning serta najis nampak pucat.

``Keadaan ini dikenali sebagai jangkitan hepatitis akut. Dua peratus daripada pesakit hepatitis akut boleh mendapat hepatitis akut teruk hingga membawa kegagalan hati teruk. ``Seperti hepatitis C, sebahagian besar pesakit yang dijangkiti viral hepatitis B tidak mengalami apa-apa tanda,'' jelas Dr. Fazilah.

Didapati 90 peratus bayi yang dijangkiti penyakit ini akan menjadi penghidap hepatitis B kronik manakala 50 peratus kanak-kanak juga akan menjadi pesakit hepatitis B kronik sementara lima hingga 10 peratus dewasa akan menghidap hepatitis kronik.

Bagaimana ia merebak?

Virus hepatitis B boleh dijangkiti dengan pelbagai cara. Antaranya sentuhan darah ke darah seperti tercucuk jarum, suntikan mahupun berkongsi jarum, hubungan seks, berkongsi berus gigi, sikat, percikan darah ke muka dan diwarisi daripada ibu ke anak. Bagaimanapun, ia tidak boleh dijangkiti hanya dengan bersin, batuk, berkongsi pinggan mangkuk dan berpelukan. Tambah Dr. Fazilah, ia boleh dielakkan dengan mengelak tabiat seks rambang dan tidak berkongsi jarum. ``Jika suasana bekerja terdedah dengan darah, cecair badan, amalkan sikap berhati-hati dan dapatkan imunisasi,'' jelas beliau.

Menurutnya, jika seseorang disahkan menghidap masalah jangkitan hepatitis B kronik dinasihatkan menjalani ujian darah berkala untuk fungsi hati, ujian serum alpha tetaprotein dan ujian ultrasound hati, sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Siapa yang patut menjalani ujian darah?
* Mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit hati
* Mereka yang datang dari China di mana berlakunya wabak jangkitan HBV
* Penagih dadah atau mereka yang terlibat dengan seks rambang
* Kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa penghidap penyakit ini
* Kakitangan kesihatan
* Pesakit yang menjalani rawatan dialisis.
Rawatan

Dr. Fazilah menegaskan, terdapat kes-kes hepatitis di mana pesakit akhirnya bebas daripada penyakit itu selepas satu tempoh yang agak lama kerana antibodi pesakit itu berjaya melindungi diri daripada penyakit tersebut. Sebab itu pesakit dinasihatkan mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga pemakanan. Jagalah hati dengan baik.


Hepatitis A

``Penyakit kuning atau hepatitis A juga adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira umur, usia dan jantina. ``Penyakit ini senang berlaku di kawasan yang kotor di mana para penduduknya tidak mengamalkan kebersihan diri, makanan, tempat tinggal dan persekitaran,'' ujar beliau. 

Bagaimana ia merebak?

Dr. Fazilah berkata, virus boleh didapati dalam najis dan darah pesakit atau pembawa penyakit ini. Virus boleh memasuki tubuh badan melalui minuman dan makanan tercemar.``Makanan boleh tercemar jika tidak mencuci tangan dengan sabun dan air yang bersih setiap kali selepas membuang air besar, sebelum makan atau sebelum menyediakan makanan. ``Begitu juga jika memakan makanan yang dihinggapi lalat dan memakan buah-buahan yang tidak dicuci terlebih dahulu serta keadaan di luar dan dalam rumah yang kotor, di mana lalat dan tikus boleh membiak serta meminum air yang tercemar.''

Serangan virus ke atas hati boleh menyebabkan penyakit akut dengan simptom-simptom seperti demam, rasa loya atau mahu muntah, hilang selera makan, letih lesu dan tidak bermaya dan, mata serta kulit menjadi kuning. Penyakit berlarutan selama beberapa minggu. Pemindahan virus boleh dielakkan melalui amalan penjagaan kebersihan yang baik terutamanya ketika penyediaan makanan.

Sumber :- http://halaqah.net/v10/index.php?topic=1521.0

4 comments:

  1. ramai yang tak faham perbezaan hepetatis A, B dan C,macam sama aje kan tapi sudah tentu ada perbezaannya. Info ni mudah untuk kita faham secara ringkas tentang ketiga-tiga jenis hepetais ni kan :)

    ReplyDelete
  2. ya betul najmi... apa pun bila bercerita tentang Hepatitis nie dia adalah virus yang melibatkan hati. Hepatitis yang kronik akan membawa kepada kanser hati. Kesan terakhir dia adalah sama. Cuma bagaimana dijangkiti, punca dijangkiti dan juga bagaimana virus menular ada sedikit berbeza. Hepatitis A & B adalah yang paling mudah menular.

    ReplyDelete
  3. hee takut tapi semua orang berisiko mendapatkannya kan...

    ReplyDelete
  4. ketakutan memang ada.... virus tu dah mengalir dalam darah saya..... dengar pun dah rasa takut ... inikan pula saya yang tanggung.... terasa berat ujian tuhan nie....

    ReplyDelete