Fahami penyakit ‘pembunuh senyap’
Oleh Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my
KHUSYUK...orang ramai mendengar penerangan mengenai bahaya hepatitis.
APA anda akan lakukan apabila diri selalu keletihan, mengalami
gatal-gatal dan kekuningan pada kulit serta mata (jaundis) dan sakit
atau kembung perut? Cara paling mudah pasti ke farmasi terdekat dan
membeli ubat-ubatan yang disyorkan sesuai dengan masalah kesihatan
berkenaan.
Itulah antara sikap yang ada dalam diri kita. Sentiasa mengambil
ringan dan beranggapan ‘tak apa’ terhadap penyakit yang tidak
menampakkan kesannya secara luaran.
Namun pernahkah anda terfikir masalah yang dianggap kecil itu
berkemungkinan besar boleh mengakibatkan satu penyakit yang serius dan
sukar dirawat?
Berdasarkan tanda di atas, jangan terkejut jika
dinyatakan bahawa anda berisiko tinggi menghidap penyakit hepatitis.
Perkataan ini mesti sudah biasa didengar, manakan tidak, menerusi
pelbagai kempen dan iklan di media massa serta forum, bahaya penyakit
ini banyak diperkatakan.
Tetapi persoalannya, sejauh mana pemahaman anda mengenai penyakit yang dikategorikan sebagai pembunuh senyap ini?
Hepatitis adalah sejenis penyakit keradangan hati yang
disebabkan oleh jangkitan virus. Setakat ini, terdapat lima jenis
hepatitis dan paling lazim didengar dan dihidapi adalah hepatitis A,
hepatitis B (HBV) dan hepatitis C (HCV).
Perunding
Gastroenterologi dan Hepatologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr
Ganesananthan Shanmuganthan, berkata penyakit ini boleh hidup di dalam
tubuh seseorang selama bertahun-tahun lamanya sebelum menimbulkan
petanda atau gejala.
“Hepatitis A ialah jangkitan paling lazim
bagi pelancong yang boleh dicegah dengan imunisasi. Selain itu,
sebenarnya ramai orang sihat yang dijangkiti virus HBV atau HCV tetapi
mereka masih belum dapat dikesan berikutan kesedaran mengenai penyakit
ini secara keseluruhannya masih rendah.
“Lebih membahayakan lagi
apabila HBV dan HCV boleh menyebabkan komplikasi lain yang serius
seperti hepatitis kronik, sirosis serta kanser hati berbanding hepatitis
A yang lebih mudah dirawat.
“Virus ini akan mengaktifkan sistem
imunisasi anda untuk melancarkan sistem pertahanan dan mengakibatkan
hati mengalami keradangan serta kerosakan. Dalam kes kronik, hati
membentuk sirosis dan kanser yang boleh membawa maut,” katanya pada
Forum Hepatitis Made Easy, sempena sambutan Hari Hepatitis Sedunia pada
28 Julai lalu.
Tambahnya, HBV merebak melalui pendedahan kepada
darah dan bendalir badan orang yang dijangkiti dan cara jangkitannya
yang paling kerap berlaku di Asia Pasifik adalah melalui penularan
daripada ibu pembawa virus berkenaan kepada bayi ketika bersalin.
HCV pula berjangkit melalui pendedahan darah tercemar daripada pembawa virus.
Misalnya
perkongsian alatan suntikan ubat ataupun dadah. Virus ini jarang
merebak melalui bendalir badan yang lain dan sesiapa yang menerima
pemindahan darah sebelum 1993 berisiko tinggi dijangkiti HCV kerana
ujian saringan darah hanya bermula di seluruh dunia pada 1990.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan 600,000 orang maut setiap
tahun disebabkan oleh hepatitis B manakala 1.4 juta kes hepatitis A
direkodkan berlaku setiap tahun.
Hepatitis B
Hepatitis
B atau dikenali sebagai HBV adalah virus yang menyerang hati dan boleh
menyebabkan jangkitan akut atau kronik. HBV merebak melalui pendedahan
kepada darah dan bendalir badan orang yang dijangkiti.
Ia banyak
dilaporkan di Asia khususnya di China. Kebanyakan penghidap hepatitis B
di rantau ini dijangkiti virus berkenaan ketika kecil dan dianggarkan
lapan hingga 10 peratus penduduk dewasa Asia mendapat jangkitan kronik.
Kebanyakan pesakit dewasa yang mengalami kesan kronik mendapat
jangkitan ketika kecil dan kebanyakannya meninggal dunia akibat kanser
hati atau sirosis.
Virus HBV
adalah 50 hingga 100 kali lebih
mudah berjangkit daripada HIV namun ia boleh dicegah melalui suntikan
vaksin yang sudah diperkenalkan sejak 1989.
Tanda jangkitan hati:
Kekuningan pada kulit dan mata (jaundis)
Keletihan
Kegatalan kulit
Air kencing menjadi gelap
Sakit atau kembung perut
Usus berdarah
Ujian darah menunjukkan fungsi hati yang tidak normal
Virus ini mengambil masa antara beberapa bulan hingga setahun untuk pulih.
Namun
apa yang lebih penting untuk disematkan dalam fikiran, HBV juga
menyebabkan jangkitan hati kronik yang boleh berkembang menjadi sirosis
atau kanser hati.
Kanser hati yang disebabkan HBV antara tiga
penyebab pertama kematian penghidap kanser di kalangan lelaki manakala
menjadi punca utama di kalangan wanita.
Kemungkinan jangkitan
HBV menjadi kronik bergantung kepada umur ketika dijangkiti. Lebih muda
umur ketika dijangkiti HBV, lebih tinggi risiko untuk jangkitan menjadi
kronik. Risiko inilah yang ditanggung 90 peratus bayi yang mendapat
jangkitan pada tahun pertama kelahiran dan 30 hingga 50 peratus
kanak-kanak yang dijangkiti HBV pada usia satu hingga empat tahun.
Hepatitis C
Hepatitis
C adalah sejenis penyakit yang menjejaskan hati. Virus HCV merebak
apabila darah seseorang yang dijangkiti virus ini memasuki badan
seseorang yang
sihat.
Dalam sesetengah kes, hati mampu
menghapuskan virus ini dan kesihatannya akan kembali pulih seperti sedia
kala dengan sendirinya. Namun, 85 peratus kes mencatatkan hepatitis C
adalah satu keadaan kronik sepanjang hayat.
Hati yang sihat
menjalankan banyak tugas yang penting iaitu memproses alkohol dan
ubat-ubatan selain mengeluarkan jus pencernaan untuk memproses makanan
yang anda makan.
Ia juga membantu pembekuan darah, melawan
jangkitan dan menyahkan bahan toksik serta kumuhan daripada darah.
Tetapi, apabila HCV mula memasuki badan, ia menuju ke hati melalui
saluran darah.
Di dalam hati, HCV boleh menimbulkan radang yang
menyebabkan tisu hati menjadi bengkak dan merengsa. Tisu yang sudah
bengkak itu kemudiannya bertukar menjadi parut tisu (fibrosis). Apabila
hati sudah berparut, keberkesanan fungsinya juga turut terjejas.
Kerosakan hati yang berlarutan boleh menyebabkan masalah kesihatan
serius sehingga membawa maut.
Kesan hepatitis C berbeza mengikut
individu. Sesetengah orang akan mengalami masalah kesihatan yang serius
dalam masa lima tahun selepas dijangkiti virus ini.
Sebaliknya,
ramai yang menghidap hepatitis C tidak menunjukkan sebarang tanda
meskipun sudah dijangkiti selama 20 tahun atau lebih.
Inilah
yang membuatkan sukar bagi anda mempercayai yang anda sudah dijangkiti
kerana anda mungkin berasa sihat walaupun hakikatnya menghidap penyakit
ini.
Terdapat empat peringkat pembentukan parut tisu:
1. Peringkat pertama
HCV menyebabkan radang hati dan ia merosakkan sebahagian daripada hati.
Parut tisu kecil mula terbentuk tetapi ia di tahap tidak akan
menjejaskan fungsi hati.
2. Peringkat kedua dan ketiga
Semakin banyak tisu hati akan rosak lalu mengakibatkan parut tisu
semakin bertambah. Tisu hati yang masih sihat cukup untuk membolehkan
hati menjalankan tugasnya.
3. Peringkat keempat
Hati
mengalami kerosakan yang teruk dan parut tisu semakin bertambah. Ini
disebut sirosis di mana hati mungkin tidak dapat menjalankan tugasnya
dengan sempurna malah ada kemungkinan ia akan berhenti menjalankan
tugasnya sama sekali.
Bagaimana jangkitan berlaku?
Penyuntikan dadah, walaupun hanya sekali.
Menjalani pemindahan darah atau transplan organ sebelum 1992 atau
faktor pembekuan yang dihasilkan sebelum 1987 (kini semua produk
berkenaan disaring untuk mengesan HCV).
Menjalani dialisis buah pinggang untuk tempoh berpanjangan.
Mencacah tubuh atau bertindik.
Mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan dengan pasangan yang sudah
dijangkiti (jangkitan melalui hubungan seks tanpa perlindungan amat
jarang berlaku namun kebarangkalian dijangkiti lebih tinggi di kalangan
mereka yang mempunyai banyak pasangan
Akupuntur.
Pemindahan daripada ibu kepada bayi semasa bersalin.
Ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan bahan di dalam darah anda yang dikaitkan dengan hepatitis C. Ini termasuk:
Anti HCV (sejenis antibodi)
ALT (sejenis enzim hati)
HCV RNA (cebisan bahagian virus berkenaan)
Genotip (satu strain virus ini)
Selepas menjalani ujian darah, pastikan anda mengambil tindakan susulan
dengan bantuan pakar penjagaan kesihatan kerana semakin lama jangkitan
hepatitis C tidak dirawat, semakin tinggi risikonya anda akan mengalami
masalah kesihatan kronik yang lain.
Untuk mengesan HCV, darah
yang diambil akan dihantar ke makmal. Anda mungkin terpaksa menunggu
beberapa minggu sebelum mendapat hasil ujian itu.
Selain itu,
anda juga mungkin terpaksa menjalani lebih daripada satu ujian darah,
bergantung kepada gaya hidup dan hasil ujian terdahulu. Ini bagi
membantu pakar penjagaan kesihatan membuat diagnosis.
Mengesan kerosakan hati:
Ujian ultrabunyi. Menggunakan gelombang bunyi yang tidak mendatangkan rasa
sakit untuk melakarkan gambar hati.
Imbasan CT. Sejenis sinaran-x yang menunjukkan secara terperinci gambar
hati.
Biopsi hati. Untuk ujian ini, sebatang jarum digunakan bagi mengambil
sedikit sampel tisu hati. Tisu berkenaan akan diperiksa melalui
mikroskop untuk mengesan sama ada terdapat keradangan dan parut tisu.
Rawatan
Hepatitis C dirawat menggunakan satu atau dua jenis ubat yang membantu
badan anda mengatasi HCV. Rawatan ini memerlukan masa dan komitmen. Di
kalangan pesakit tertentu, rawatan ini dapat menghapuskan semua HCV
daripada badannya.
Pegylated Interferon adalah sejenis protein
yang membantu sistem imun. Ia disuntik ke dalam badan hanya sekali
seminggu selama 12 bulan. Kebanyakan pesakit diajar untuk menyuntik diri
sendiri di rumah. Ubat ini biasanya diberi bersama ribavirin yang
bertindak menyukarkan HCV daripada terus membiak di dalam badan. Tetapi
jika pesakit tidak boleh mengambilnya, ia akan diberikan secara
bersendirian.
Golongan terdedah kepada aktiviti di bawah ini berisiko tinggi untuk dijangkiti:
Berkongsi alatan suntikan ubat ataupun dadah.
Berkongsi pisau cukur, berus gigi dan peralatan lain seperti gunting kuku yang mungkin tercemar dengan darah.
Penggemar tatu dan menindik telinga atau badan dengan alatan yang tidak dibasmi kuman.
Menerima darah tercemar melalui pemindahan darah sebelum saringan virus hepatitis diperkenalkan.
Penularan daripada ibu penghidap HBV kepada bayi ketika bersalin antara cara penyebaran paling kerap.
Mesej penting yang boleh dijadikan panduan bagi mengelakkan jangkitan virus ini :
Pencegahan
Mengetahui risiko HBV dan HBC adalah langkah penting mencegah jangkitan baru.
Diagnosis
Menjalani ujian darah adalah cepat dan mudah. Sekiranya seseorang
berasa mereka berisiko tinggi, mereka perlu menjalani ujian saringan
serta-merta.
Perlindungan
Terdapat vaksin untuk HBV dan penyakit ini dapat dicegah melalui imunisasi.
Rawatan
Rawatan untuk kebanyakan virus berkenaan adalah berkesan.
Kumpulan berisiko tinggi perlu vaksin:
Mereka yang gemar melakukan hubungan seksual dengan ramai pasangan.
Rakan dan kenalan isi rumah yang dijangkiti HBV.
Penagih dadah.
Mereka yang sering memerlukan pemindahan darah.
Penerima pemindahan organ pepejal.
Pekerja yang berisiko mendapat jangkitan misalnya pekerja kesihatan.
Pelancong antarabangsa.