Peringatan!!!!

Peringatan :- Maaf, Fakta perubatan yang dikongsikan ini hanya satu research dan tinjauan pihak admin di website yang tersedia.... Oleh demikian, keberkesanan ubat yang dikeluarkan adalah dibawah tanggungjawab pihak yang ingin mencuba dan pengeluar produk. Adalah dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat Doktor Pakar tentang kandungan ubat dan kesan. Pihak admin tidak bertanggungjawab sekiranya memberi kesan sampingan atau memudaratkan diri menjadi lebih teruk. Kita dikehendaki mencari penawar tetapi kita juga perlu berhati-hati dengan semua produk jualan langsung. Harap para pembaca dan pengunjung blog akan berhati-hati. Dapatkan maklumat yang tepat dan dijamin selamat baru mencuba. Insyallah akan ada penawarnya. Blog ini tidak mempromosi atau terlibat dengan pihak2 berkepentingan ataupun mengambil kesempatan cuma berkongsi bahan cerita.

Thursday, 28 June 2012

DIARI KEHIDUPAN - CATATAN KELAPAN


29/06/2012 - Bersamaan 9 Syaaban 1433H

Assalamamualaikum dan salam hormat, bulan syaban telah muncul... tanpa sedar ramadhan semakin menghampiri dan kemudian syawal..... terasa begitu pantas masa yang dilalui...... tanpa sedar sudah pertengahan 2012. 2012 tarikh yang begitu banyak rasa dan pengalaman yang tak terjangkau. Yang sukar diluahkan dengan kata-kata. Apa pun inilah yang telah tertulis dalam perjalanan kehidupan aku sebagai manusia. Semakin hari aku semakin kuat menghadapi dugaan yang telah tertulis ini. Apa yang sering aku panjangkan dalam doaku adalah biarlah matiku dalam keredhaan Allah dan sentiasa dalam lindunganNYA. Aku berdoa agar insan-insan yang aku sayangi disekelilingku tidak akan menderita dengan dugaan yang diterima ini.

21 / 6 / 2012 dan 26 / 6 / 2012 tarikh temujanji aku bersama doktor pakar. Keputusan yang aku terima bahawa kesihatan aku berada dalam keadaan baik. Hati aku tidak mempunyai apa-apa masalah. Tapi telah sah bahawa aku adalah pembawa Hepatitis B. Setiap 6 bulan sekali aku diminta untuk membuat ujian darah bagi memastikan virus Hepatitis B itu tidak bertambah dan boleh menganggu fungsi hati. Aku redha dengan keputusan ini. Aku bertanya sekiranya ada cara yang boleh aku lakukan untuk kembali negatif Hepatitis B... namun jawapannya korang semua pun boleh agak... bahawa sekiranya virus ini telah berada dalam darah maka aku akan menjadi pembawa seumur hidup. Tiada ubat yang boleh membunuh virus ini hanya antibodi dalam badan sahaja. Tapi doktor tersebut menyatakan bahwa aku tidak perlu risau sebabnya aku boleh hidup normal seperti insan lain dan tak perlu ambil apa-apa ubat cuma kegiatan yang membawa jangkitan perlu dihindari. Aku kena lebih berhati-hati untuk mengalirkan semua bendalir dalam diriku. Amalan gaya hidup sihat boleh menyebab virus ini hanya akan ada dalam badanku tanpa dia menjadi penyebab penyakit hati. Doktor juga tidak menyarankan aku untuk mengambil ubat-ubat alternatif kerana diberitahu bahawa ubat yang tidak dapat dipastikan keberkesanannya boleh mempengaruhi hati dan menyebabkan kanser hati bukan disebabkan oleh virus Hepatitis B. Apa pun peluang hati aku rosak masih ada. Untuk mengelakkan itu berlaku maka setiap 6 bulan aku perlu membuat pemeriksaan darah.

Nabi SAW bersabda maksudnya :
"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)
 
Huraian
i) Diri manusia terbahagi kepada dua iaitu fizikal dan spiritual. Spiritual tersebut termasuklah akal, nafsu, perasaan dan yang paling utama ialah hati kerana tindakan, prilaku dan sikap seseorang dipengaruhi oleh hati.
ii) Hati dan perasaan haruslah dijaga dari sifat-sifat yang merosakkan. Ia hendaklah dipandu ke arah jalan yang betul berdasarkan ajaran Islam yang sebenar. Jika tidak, hati akan dikuasai oleh nafsu dan syaitan yang menyebabkan pelbagai penyakit seperti hasad dengki, tamak, pemarah, riya’ dan sebagainya. Maka untuk membersihkan hati yang kotor hendaklah membiasakan diri dengan berzikir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah.
 
Apa pun yang bakal terjadi dalam kehidupan aku akan aku tempuh dengan setabah yang mungkin. Kerisauan tentang diriku semakin berkurangan kini aku kembali resah memikirkan isteri yang aku cintai. Dia telah mengambil dan menjalani ujian darah. Bulan Julai nanti akan diketahui apa keputusan darah. Sahabat-sahabat yang aku sanjungi tolong doakan agar isteriku tidak dijangkiti yer walaupun 99 peratus jangkitan boleh berlaku. Rasa bersalah yang teramat sangat. Tapi itulah tulisan takdir. Jika tuhan tidak mengkehendaki maka kami tidak akan dipertemukan jodoh. Apa yang aku telah tanam dalam diri ini aku akan cuba menjadi suami yang sebaik mungkin dan akan bertanggungjawab sepenuhnya kepada isteriku. Mungkin inilah yang telah tuhan tentukan. Alhamdulillah. Aku berdoakan akan iman kami berdua diteguhkan untuk terus redha menerima dugaan ini.
 
Ketika di hospital aku merasa semakin kuat..... bila aku lihat bukan aku sahaja yang ditimpa dugaan ini... masih ramai diluar sana yang menerima nasib yang sama.... mungkin inilah dikatakan dugaan buat kami semua. Ketika di Hospital pelbagai reaksi yang terpapar... ada yang mengalirkan air mata... ada yang termenung... ada yang tersenyum.... ada yang seperti tidak pedulikan apa yang dilakukan... apa pun pada masa tu semua yang datang menghadapi masalah Hepatitis B..... yang pasti tidak ada seorang pun yang mahu bersembang,.... berkongsi rasa dan sebagainyer.... mungkin kerana stigma berkenaan penyakit ini membuatkan lidah menjadi kelu. Kalau kita demam atau sakit apa pun bila diklinik kita pasti akan saling tegur dan bertanya tapi bila berada diruangan yang melibatkan penyakit berjangkit ini mungkin semua orang tak sudi berkongsi rasa.... kerana perasaan takut, resah dan gelisah sering menghantui... mungkin apa yang aku rasa sama seperti apa yang meraka rasa..............

Aku cuba mencari kemuniti atau persatuan berkenaan penyakit ini.... namun aku tidak menemui. Mungkin takde persatuan yang wujud? atau mungkin aku yang tidak tahu dimana beradanya persatuan seperti ini..... aku cuba ingin mencari mereka yang senasib agar kami semua dan berkongsi rasa dan daling memberikan semangat seperti blog AHP...... kerana inilah kekuatan untuk kami saling merasa kuat menghadapi kehidupan ini. Sekiranya pembawa dan siapa pun yang mengunjungi blog nie boleh ler mewar-warkan salam ukhwah ini agar kita mampu berkongsi....... 

Sekian dulu coretan aku kali ini... ada kelapangan insyallah kita bertemu lagi...... Aku mendoakan kesejahteraan kepada kalian semua.... hargailah nikmat sihat sebelum datangnyer sakit... Wassalam


Wednesday, 6 June 2012

Hepatits B & Kehamilan

Hepatitis B dan Kehamilan

Apa itu Hepatitis B?
Penyakit Hepatitis B seperti juga Hepatitis A merupakan sejenis jangkitan dari kuman virus yang menyebabkan keradangan pada organ hati atau hepar. Selalunya ia tidak menunjukkan sebarang gejala yang jelas. Dengan kata lainnya, anda tidak merasakan yang anda sedang sakit. Kebanyakan gejala yang wujud semasa jangkitan di peringkat akut adalah tidak spesifik, hanya terasa seperti terkena selesema, terasa sengal-sengal badan, hilang selera makan, loya serta muntah. Kadangkala terdapat sakit-sakit sendi dan ruam di badan.
Seseorang yang dijangkiti sama ada diketahui ataupun tidak akan sembuh sepenuhnya dari gejala-gejala yang timbul, waluapun sesetengah dari mereka mengambil masa berbulan-bulan. Jarang sekali keadaan ini membawa kepada masalah kegagalan hati yang boleh membawa maut. Ia hanya berlaku kurang separuh dari kes-kes ini. Walau bagaimanapun, tumpuan sebenar mengenai penyakit Hepatitis B ini, ialah peranannya sebagai penyebab utama penyakit hati seperti Kronik Hepatitis dan Kanser Hati Primer.
Selepas dijangkiti seseorang itu akan sembuh sepenuhnya dan ia akan mendapat imuniti atau keimunan terhadap jangkitan seterusnya. Walau bagaimanupun, terdapat sesetengah dari pesakit akan membawa kuman virus di dalam badannya dengan ataupun tanpa menunjukan gejala-gejala tertentu. Mereka merupakan pembawa yang kronik iaitu sumber penyebaran kuman virus. Seorang ibu yang menjadi pembawa kuman ini boleh menyebarkan virus kepada anak dalam kandungannya. Keadaan ini juga boleh berlaku ketika di peringkat jangkitan awal atau akut, terutamanya dalam masa 3 bulan terakhir sebelum kelahiran.

Penyakit ini merebak melalui darah atau produk darah. Perebakan juga boleh berlaku melalui aktiviti-aktiviti seksual terutamanya bagi amalan-amalan seks yang tidak selamat. Ia juga boleh merebak melalui ibu kepada anak semasa mengandung. Jangkitan akut yang berlaku di peringkat akhir kehamilan iaitu di sekitar masa kelahiran merupakan jangkitan dari ibu kepada anak sebelum atau semasa kelahiran.
Penyakit ini lebih biasa dan banyak berlaku di dunia sebelah sini dan peluang untuk merebak dari ibu kepada anak adalah lebih tinggi. Kementerian Kesihatan Malaysia telah melancarkan satu program aktif yang melibatkan saringan ibu-ibu mengandung. Rawatan-rawatan tertentu akan diberi kepada bayi yang ibunya dikenal pasti merupakan pembawa kuman virus atau telah mendapat jangkitan semasa mengandung. Ini dilakukan untuk mencegah perebakan penyakit dari ibu kepada bayi.

Faktor-faktor risiko ?
• Penyalahgunaan dadah melalui suntikan - sekarang atau di masa yang lalu.
• Mengamalkan kegiatan seks yang tidak selamat seperti mempunyai berbilang pasangan.
• Penerima pemindahan darah atau produk darah
• Mempunyai sejarah penyakit hati yang akut atau kronik
• Seringkali terdedah kepada darah atau prosedur pergigian dalam sesuatu pekerjaan.
• Ditolak sebagai penderma darah.
• Mempunyai sejarah dijangkiti penyakit kelamin
• Menghidap masalah gangguan pada tindak balas sistem imun.
• Mempunyai hubungan dengan pembawa Hepatitis B yang disyaki.

Individu-individu yang memiliki risiko di atas perlu disaring untuk Virus Hepatitis B (HBV) sebaik sahaja mereka mengandung. Ataupun lebih baik lagi, sebelum mereka merancang untuk mendapatkan anak. Bagi mereka yang masih mempunyai faktor-faktor risiko dan yang menunjukkan tanda-tanda atau gejala dijangkiti kuman HBV, ujian ulangan perlu dilakukan walaupun ujian awalnya untuk Hepatitis B adalah negatif.
Mengenal pasti individu-individu yang memiliki faktor-faktor risiko di atas akan membantu mengurangkan penyakit ini dari merebak. Mereka yang terdedah kepada faktor-faktor risiko ini boleh diberikan suntikan jika mereka masih belum dijangkiti atau belum memiliki imuniti. Begitu juga dengan pasangan individu yang dijangkiti yang masih belum memiliki imuniti boleh diberikan suntikan untuk mengurangkan perebakan penyakit. Bayi yang dilahirkan dari ibu yang dijangkiti dan pembawa yang kronik boleh diberikan rawatan yang berkaitan untuk mencegah penyakit itu dari berlaku kepada mereka. Risiko bayi-bayi ini menjadi pembawa yang kronik adalah lebih tinggi berbanding dengan golongan dewasa.

Telah terbukti bahawa pelaksanaan program yang menjalankan aktiviti-aktiviti untuk mengenal pasti individu yang mempunyai faktor-faktor risiko, melakukan usaha-usaha ke arah mencegah perebakan dan menjalankan kempen suntikan di kalangan mereka yang berisiko telah menunjukkan kejayaan. Antaranya, ia dapat mengurangkan kejadian atau insidens penyakit dan prevalens pembawa yang kronik seperti yang dijalankan di bahagian Barat Amerika Syarikat.

Apa yang perlu saya lakukan jika ujian saya adalah positif?


Anda tidak perlu bimbang. Bantuan sentiasa ada. Doktor anda boleh membantu, menasihati dan merangkakan satu pelan pengurusan jangka panjang untuk anda dan keluarga anda. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat serta menjalani pemeriksaan secara berkala, anda akan dapat menjalani kehidupan sihat yang berpanjangan tanpa menghadapi apa-apa komplikasi. Walaupun HBV sering dikaitkan dengan penyakit hati, mereka yang didiagnoskan sebagai pembawa tidak seharusnya merasa terganggu. Kehidupan mereka akan terus sihat dan berpanjangan.
Di sini dikemukakan beberapa saranan untuk mereka yang dikatakan pembawa kuman HBV tetapi sihat sejahtera:

1. Mintalah doktor anda berunding dengan pakar penyakit hati, jika beliau bukan doktor pakar tersebut, bagi merangkakan satu pelan pengurusan jangka panjang atau merujuk anda kepada pakar tersebut.
2. Dapatkan pemeriksaan berkala yang termasuk pemeriksaan untuk mengesan penyakit hati seperti kanser hati dan sirosis. Ia mungkin setahun sekali atau setiap 6 bulan atau lebih kerap lagi bergantung kepada apa yang anda dan doktor anda telah persetujui.
3. Jika anda mengandung, kuman HBV akan menular dari ibu yang merupakan pembawa, kepada anak baru lahir semasa kelahiran. Pastikan doktor anda tahu kedudukan anda yang sebenar dan membuat sesuatu untuk melindungi bayi anda dari jangkitan kuman HBV apabila dilahirkan nanti. Dengan ini ia akan melindungi bayi anda dari dijangkiti kuman HBV.
4. Pastikan ahli keluarga dan mereka yang sering mendampingi anda diberi imunisasi menentang penyakit ini, jika mereka belum lagi mendapatkannya.
5. Berhati-hati supaya anda tidak menyebarkan darah anda kepada orang lain:


o Balut semua luka dengan pembalut
o Buangkan tampon dan lampin wanita yang telah dipakai dengan cermat.
o Jangan menderma darah atau organ
o Elak dari melakukan hubungan seks yang tidak selamat dengan pasangan yang tidak diimunisasikan.
o Amalkan kebersihan diri yang baik dan jangan berkongsi peralatan peribadi yang boleh menyebarkan darah kepada orang lain seperti berus gigi, alat pengetip kuku, subang bercucuk, jarum suntikan dan pisau cukur.
6. JANGAN MEMINUM ALKOHOL. Ia sangat merbahaya kepada hati anda.
7. Elakkan dari toksin-toksin hati:


Cendawan dari nasi basi, roti atau kacang tanah yang lama adalah merbahaya kepada hati anda.
Elak memakan makanan dari laut yang mentah kerana ia mempunyai risiko jangkitan kuman bakteria vibrio.
Jangan menyedut terlalu banyak wasap dari cat, bahan penipis cat, gam, dan bahan-bahan pencuci. Sebahagian dari bahan-bahan ini mengandungi fenol, iaitu bahan kimia yang boleh menjadi toksik kepada hati.


• Dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang ubat

Jangkitan HBV semasa mengandung

Jangkitan kuman virus Hepatitis B (HBV) yang berlaku di penghujung waktu kehamilan dan di peringkat masa hendak bersalin kemungkinan besar boleh merebak kepada bayi sebelum dan di sekitar waktu bersalin. Risiko di waktu 3 bulan pertama kehamilan adalah kecil dan kira-kira 6% dalam 3 bulan kedua kehamilan. Penyakit ini akan melalui peringkat-peringkat yang sama seperti ketika tidak mengandung. Kebanyakannya akan sembuh sepenuhnya dan membentuk keimunan (imuniti) atau daya ketahanan badan. Sebahagian kecil dari mereka akan menjadi pembawa kuman yang kronik.

Jangkitan kuman HBV semasa mengandung setakat ini tidak pernah dikaitkan dengan sebarang kecacatan semasa kelahiran atau keabnormalan kongenital.

Tidak ada sebarang rawatan khusus untuk ibu yang terkena jangkitan ini, kerana kebanyakan gejala akan hilang dengan spontannya. Tumpuan utama adalah kepada bayi yang akan lahir dan doktor anda perlu menyedari mengenai perkara ini. Persediaan hendaklah dibuat untuk memberi rawatan segera apabila bayi tersebut dilahirkan. Segala cairan buangan yang keluar ketika bersalin hendaklah diurus dan dibuang dengan cermat bagi mengelakkannya menjangkiti orang lain terutamanya anggota kesihatan yang mengendalikan kelahiran tersebut .

Bolehkah saya mendapat imunisasi semasa mengandung?
Walaupun pihak pengeluar vaksin tidak mengesyorkan imunisasi diberi ketika mengandung, tetapi dalam amalan perubatan tidak ada ketetapan dibuat untuk menidakkan kaedah ini dilakukan. Setakat ini tidak terdapat sebarang kesan sampingan yang timbul di kalangan mereka yang telah menerima imunisasi ini, kemudian menyedari yang mereka sebenarnya sedang mengandung.
Dinasihatkan wanita yang mengandung terutama mereka yang berisiko tinggi seperti anggota kesihatan dan perubatan yang terdedah kepada jangkitan ini perlu diberikan imunisasi. Vaksin ini tidak dibuat dari kuman virus yang lengkap dan terpaksa melalui beberapa peringkat prosedur yang ketat. Oleh itu vaksin tersebut dianggap selamat dan tidak berisiko untuk menyebabkan penyakit.
Imunisasi ini diberikan sebanyak 3 kali dalam masa 6 bulan mengikut jadualnya supaya perlindungan sepenuhnya dari jangkitan kuman HBV diperolehi. Vaksin ini telahpun digunakan di seluruh dunia dan amat sedikit sekali kesan sampingannya dilaporkan.

Memahami ujian darah untuk Hepatitis B

Sebelum dijelaskan mengenai ujian ini, di sini terdapat 2 istilah perubatan asas yang perlu difahami.
1. Antigen (Ag): Ini merupakan sejenis bahan yang akan mencetuskan amaran bahaya dalam badan supaya melindungi dirinya (dalam kes ini, antigen ialah virus Hepatitis B).
2. Antibodi (Ab): Ini dihasilkan oleh badan untuk melindungi dirinya dari bahan antigen. Antibodi ini akan mengikat kepada antigen dan menjadikannya tidak aktif lagi.
Ujian-ujian darah biasa yang dijalankan untuk jangkitan Hepatitis B
1. HBsAg (antigen permukaan Hepatitis B) ini merupakan permukaan luar virus Hepatitis B (HBV) yang mencetuskan tindak balas antibodi. Jika HBsAg itu positif atau reaktif ianya bermaksud seseorang itu telah dijangkiti dengan kuman HBV dan berpotensi untuk menjangkiti orang lain yang sering berdamping dengannya.
2. Anti-HBs (antibodi kepada antigen permukaan Hepatitis B) Kewujudan antibodi menandakan seseorang itu telah pun terdedah kepada kuman HBV, tetapi telah berjaya membersihkan virus tersebut dari badannya dan dianggap tidak lagi merbahaya kepada orang lain. Antibodi tersebut melindungi tubuh dari sebarang pendedahan kepada jangkitan kuman HBV di masa hadapan. Seseorang itu telah "diimunisasikan secara semula jadi". Antibodi juga boleh dihasilkan dari beberapa siri vaksin HBV.
3. Anti-HBc (antibodi kepada teras Hepatitis C) ujian ini bertujuan untuk mengenal pasti jangkitan kuman virus Hepatitis B (HBV) pada masa lalu dan masa kini. Ia dihasilkan semasa dan selepas jangkitan HBV yang akut. Antigen teras merupakan sebahagian dari HBV dan antibodi kepada antigen teras ini selalunya ada di dalam badan pembawa yang kronik. Walau bagaimanapun, jika ianya wujud bersama anti-HBs "yang positif" (antibodi perlindungan) ini menandakan seseorang itu telahpun sembuh dari jangkitan ini dan ia bukanlah pembawa. Tafsiran ujian ini bergantung kepada keputusan ujian pertama dan kedua tadi.
Apakah yang dapat difahami dari keputusan ujian-ujian tersebut?
• HBsAg - negatif
• Anti-HBc - negatif
• Anti-HBs - negatif
Anda adalah rentan atau mudah dijangkiti penyakit ini. Tidak terdapatnya virus atau antibodi di dalam badan anda. Jika anda tergolong di kalangan mereka yang berisiko tinggi, adalah dinasihatkan supaya anda mendapatkan imunisasi, walaupun anda kini sedang mengandung. Anda perlu diuji sekali lagi di akhir-akhir kehamilan anda sekiranya terdapat kemungkinan anda telah terdedah kepada jangkitan ini.
• HBsAg - negatif
• Anti-HBc - negatif atau positif
• Anti-HBs - positif
Terdapatnya antibodi di dalam badan anda dan badan anda telah memiliki ketahanan terhadap jangkitan ini. Jika anda tidak pernah mendapat imunisasi, kemungkinan besar anda telah pernah dijangkiti penyakit ini sebelumnya.
• HBsAg - positif
• Anti-HBc - negatif atau positif
• Anti-HBs - negatif
Keputusan ini menunjukkan anda sedang menghidapi jangkitan ini ataupun anda merupakan seorang Pembawa. Memberi imunisasi ketika ini tidak akan memberi apa-apa faedah. Anda akan diberi bantuan perubatan dan nasihat. Jika anda sedang mengandung, ada beberapa cara yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko penyakit ini menular kepada bayi anda.
• HBsAg - negatif
• Anti-HBc - positif
• Anti-HBs - negatif
Di sini terdapatnya beberapa kemungkinan:
• Mungkin anda sedang sembuh dari jangkitan HBV yang akut
• Mungkin telah wujudnya daya ketahanan dalam badan anda dan ujian yang dijalankan itu tidak begitu sensitif untuk mengesan paras anti HBs yang terlalu rendah dalam serum.
• Mungkin rentan (mudah dijangkiti) dengan anti HBs positif yang palsu.
• Mungkin terdapatnya paras HBsAg yang tidak dapat dikesan di dalam serum dan seseorang itu sebenarnya merupakan seorang pembawa.
Terdapat beberapa ujian lain yang dapat membantu menentukan sama ada penyakit ini sangat mudah berjangkit ataupun tidak tetapi ia bukanlah merupakan ujian yang rutin. Saringan Penyakit Hepatitis B semasa mengandung

KENAPA?
Terdapat bukti yang baik mengatakan bahawa pengesanan awal HBsAg (antigen/virus) di kalangan ibu mengandung boleh mencegah jangkitan ini kepada bayi baru lahir. Vaksin Hepatitis B dan gabungannya dengan Imunoglobulin Hepatitis B (Hblg) didapati berkesan untuk mencegah kejadian jangkitan virus Hepatitis B (HVB) di kalangan bayi-bayi yang dilahirkan oleh ibu-ibu yang didapati HBsAg positif.

BILA?
Saringan akan dilakukan semasa ibu membuat lawatan kali pertama ke klinik ibu mengandung. Jika ujian itu didapati negatif, tetapi ibu merasa kurang sihat yang menandakan ia berkemungkinan dijangkiti vius Hepatitis B (HBV) terutama bagi mereka yang berisiko tinggi, maka ujian perlu dilakukan sekali kali lagi semasa 3 bulan terakhir kehamilan.
Mengesan jangkitan virus Hepatitis B sama ada yang akut atau kronik dianggap penting untuk mencegah perebakan kuman virus kepada orang lain selain dari bayi. Individu-individu yang dikesan boleh diberikan nasihat tentang bagaimana hendak mencegah perebakan kuman virus kepada orang lain terutama kepada yang disayangi.
Kita tidak perlu merasa cemas apabila seseorang itu didapati positif ujian HBVnya. Ini kerana kebanyakan pesakit akan menjalani kehidupan yang sihat seperti biasa dengan bantuan dan nasihat yang baik. Ia mungkin melibatkan rawatan dan penjagaan kesihatan yang berpanjangan tetapi ianya berbaloi.

DI MANA?
Objektif utama saringan adalah untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya perebakan kuman Hepatitis B (HBV) kepada bayi dan orang lain. Dengan ini, ia dapat mengurangkan kejadian atau prevalens jangkitan kuman virus Hepatitis B. Ia merupakan satu ujian yang mudah yang boleh didapati di semua kemudahan perubatan dan kesihatan sama ada milik kerajaan atau swasta. Ianya didapati lebih berkesan jika dilakukan sebelum seseorang itu bercadang untuk memulakan sebuah keluarga. Imunisasi ini sentiasa ada, selamat dan berkesan untuk diberi kepada mereka yang belum lagi membentuk ketahanan badan terhadap kuman virus ini.

sumber :- http://sham86.files.wordpress.com/2009/04/hepatitis-b-dan-kehamilan.pdf

Entry from http://www.serikasih.com/hepatitis-b-hvb-mudah-berjangkit

Usah prejudis terhadap individu yang dijangkiti virus Hepatitis B. Anda masih boleh berkongsi makanan, minuman, pinggan, sudu atau bersalaman, memeluk dan mencium mereka. Malah anda tidak perlu menjauhkan diri jika mereka batuk atau bersin kerana virus Hepatitis B (HVB) hanya berjangkit melalui hubungan seks dan pemindahan darah (termasuklah berkongsi jarum suntikan).
Jika anda adalah antara individu yang dijangkiti virus ini, masih belum terlambat untuk mendapatkan perlindungan kerana suntikan vaksin bukan saja dapat ‘melemahkan’ virus, tetapi memperlahan atau menghentikan kerosakan pada hati akibat serangan HVB.
Hepatitis bermakna keradangan hati dan virus hepatitis boleh menyebabkan kita mengalami masalah ini yang mungkin berakhir dengan kematian jika tidak diberi rawatan sewajarnya.
HVB mempunyai tempoh inkubasi (pembiakan) yang lama iaitu antara dua hingga tiga bulan. Virus ini boleh menyebabkan dua jenis masalah, sama ada akut atau kronik.

Hepatitis B dianggap jangkitan paling lazim di dunia. Sehingga kini dianggarkan lebih dua bilion penduduk dunia dijangkiti HVB dan daripada jumlah itu kira-kira 350 juta adalah pembawa HVB kronik.
Kebanyakan pembawa virus kronik ialah penduduk Asia dan Afrika. Di Malaysia, kebanyakan kes Hepatitis B berlaku di kalangan keturunan Cina (60-70 peratus), Melayu (30 peratus) dan India (10 peratus).
Virus ini disebarkan melalui hubungan seks, berkongsi jarum suntikan dengan individu dijangkiti atau pemindahan darah. Wanita hamil yang dijangkiti Hepatitis B boleh memindahkan virus ini kepada anak ketika bersalin. HVB dikatakan 100 kali lebih mudah berjangkit berbanding virus HIV.
Apabila seseorang dijangkiti virus ini, dia akan mengalami jangkitan akut. Antara gejala yang berlaku akibat jangkitan akut ialah demam, sakit kepala atau selesema. Namun, ada juga individu yang tidak mengalami masalah.
Pada sesetengah orang, jangkitan ini hilang sendiri (virus dimusnahkan sistem imun badan) tetapi dalam keadaan tertentu virus ini membiak dan terus hidup dalam individu sepanjang hayat sehingga menyebabkan jangkitan kronik.
Jika jangkitan virus berlaku pada kanak-kanak (melalui kelahiran), kemaraan penyakit adalah lebih cepat berbanding jangkitan di kalangan orang dewasa. Kira-kira 90 peratus bayi dijangkiti virus ini pada tahun pertama kehidupan mereka dan kajian mendapati 30 hingga 50 peratus kanak-kanak berumur satu hingga empat tahun mendapat jangkitan kronik.
Bahkan pesakit kecil ini mempunyai risiko kematian sangat tinggi akibat kanser hati dan sirosis yang ada kaitan dengan HVB iaitu sehingga 25 peratus.
Namun dalam kebanyakan kes, ramai yang tidak sedar mereka dijangkiti virus ini kerana tiada
gejala. Ujian darah untuk fungsi hati juga menunjukkan keputusan normal dan mereka sentiasa berasa sihat. Masalah kesihatan hanya timbul apabila virus yang membiak dalam badan menjadi aktif.
Antara gejala Hepatitis B:
# Demam kuning
# Kematian akut
# Jangkitan kronik
# Kematian akibat penyakit hati kronik
Bukan semua orang yang mendapat jangkitan mengalami gejala di atas. Kebanyakan orang yang dijangkiti virus ini tidak mengalami masalah kesihatan dan boleh bekerja seperti biasa. Malah di kalangan individu dijangkiti, hampir 90 peratus kes virus HVB dapat disingkir melalui tindakan antibodi badan manakala 10 peratus lagi menjadi pembawa.
Oleh kerana jangkitan HVB bersifat kronik, gejala kesihatan biasanya muncul apabila menjangkau 40 tahun. Di kalangan pesakit, dianggarkan 20 hingga 25 peratus mengalami masalah sirosis hati (sel hati mati, menjadi keras dan menyebabkan parut). Daripada jumlah ini kira-kira lima hingga 10 peratus mendapat kanser hati.
Dipercayai 80 peratus kes kanser hati di seluruh dunia ada kaitan dengan jangkitan hepatitis B dan dianggarkan 1.2 juta orang meninggal dunia akibat penyakit hati kronik. Jumlah pesakit hepatitis B kronik di seluruh dunia kini lebih 350 juta orang dan kebanyakannya tinggal di negara rantau Asia.
Di Malaysia, kadar kelaziman jangkitan HVB ialah 5.24 peratus yang membabitkan kira-kira 1.3 juta orang. Hepatitis B dikategorikan sebagai penyakit pembunuh ke-10 dan meletakkan kanser hati sebagai kanser kelima kerap di dunia.
Virus hepatitis B hanya ditemui dalam cecair dan darah dan ia boleh hidup melebihi seminggu dalam darah kering. Kebanyakan kes jangkitan berlaku pada bayi atau kanak-kanak, terutama pemindahan virus daripada ibu (yang tidak sedar mereka dijangkiti HVB) kepada anak ketika bersalin.
Pemindahan menegak seperti ini kerap berlaku (sembilan daripada 10 kes) di negara Timur, terutama rantau Asia Pasifik. Jangkitan juga berlaku melalui pemindahan darah, aktiviti seks tidak selamat, berkongsi jarum suntikan atau penggunaan jarum tidak bersih ketika membuat tatu. Kaedah pemindahan mendatar ini lebih banyak berlaku di negara Barat.
Antara cara yang boleh dilakukan untuk mencegah jangkitan hepatitis B ialah setia pada pasangan, tidak melakukan seks bebas, tidak berkongsi jarum suntikan dan mendapatkan pelalian HVB terutama bagi individu yang berumur 20 tahun ke atas kerana vaksin untuk penyakit ini hanya bermula pada 1989.

Tuesday, 5 June 2012

Mencari Ketenangan

Salam, mungkin lama saya tidak menulis. Kesibukan kerja harian ditambah sudah mula hidup berkeluarga membuatkan aku sibuk seketika sehingga kadangkala terlupa yang diri dijangkiti virus. Dalam masa sama mendiamkan diri mencari cara terbaik untuk aku terus melalui kehidupan ini. Memikirkan bagaimanakah aku harus menjaga diri dan keluarga.

Sukarkan bila tahu dalam darah ini mengalir virus yang berbahaya dan berjangkit. Terasa ingin hidup sendiri dan jauh dari manusia agar penyakit ini tidak berjangkit. Ada masa tabah ada masa goyah juga. Senyuman tawa dan gurauan kadangkala tak dapat melupakan apa yang terlintas difikiran. Bagaimanakah aku bakal mati? Perut jadi busong? mata dan anggota badan kekuningan? Ya Allah, Aku terlalu hina dimatamu Ya Allah. Ampunkan dosaku Ya Allah

Friday, 20 April 2012

DIARI KEHIDUPAN - CATATAN KETUJUH


20/04/2012 - Bersamaan 28 Jamadil Awal 1433H

Assalamamualaikum dan salam hormat, berkongsi kembali luahan perasaan yang aku pendamkan. Riak wajah dan tutur kata mampu untuk aku cuba sembunyikan keresahan hati namun jasad dan tubuh ini tidak mampu menyembunyikan. Berat badan ku mula turun daripada 70kg kepada 66kg dalam masa 2 bulan. 4kg hilang tanpa melakukan senaman atau mengurangkan pengambilan makanan. Perubahan berat badan yang aku alami ini mula disedari rakan-rakan sepejabat. Kehairanan mereka mula tergambar disebabkan aku baru melangsungkan perkahwinan. Sepatutnya berat badan bertambah namun keadaan aku berbeza. Mereka hairan dan ada yang mengusik adakah aku tak bahagia kahwin? Aku jawab santai... saje nak jaga badan....nak pakai banyak tenaga...... dan mungkin perubahan hormon kot. Hakikatnya aku juga tak pasti kenapa berat badan ku mula berkurangan. Pelbagai perkara bermain dalam mindaku. Adakah aku risau dan resah menyebabkan berat badanku susut? Atau adakah penyakit yang mula menghidapi badan ku mula aktif dan menunjukan kesan. Ya Allah tak terjangkau akal ku. Jika ini suratan yang tertulis telah aku kuat menghadapinya. Aku melihat tanda-tanda lain jangkitan namun tiada cuma berat badan saya yang mula berkurangan.

Kerisauan aku bertambah bila aku mendapat berita ibuku sakit. Risau sangat sebab itulah insan yang paling aku sayang. Aku balik ke kampung melihat keadaan ibu. Diceritakan yang dia merasa lemah2 badan sepulangnya dari menziarahi saudaraku yang meninggal dunia. Abang aku bawa ibu ke hospital namun keadaan kesihatan ibu ok dan tidak dijangkiti apa-apa penyakit. Doktor minta rehat mungkin kerana kepenatan. Namun apabila matahari mula naik ibuku akan merasa lemah2 badan dan pening. Abangku cuba usaha cara tradisional. Dimaklumkan yang ibuku terkena badi mayat. Sekarang dalam proses berubat. Keadaannya makin membaik. Aku bercadang bercuti selama seminggu menjaga ibu.

Hati ku bertambah risau bila isteriku mula bersuara tentang anak, honeymoon..... aku jadi buntu. Perasaan seorang wanita kan. Apabila baru berkahwin sudah tentu kenalan dan kawan rapat akan bertanya soalan itu. Aku menjadi semakin celaru. Aku cuba perjelaskan kepada isteri. Namun hati wanita tak siapa yang tahu. Aku berdoa agar isteriku sabar menanti. Semoga dugaan yang tuhan berikan ini ada hikmah yang bakal menjelma. Aku pasrah.

Sahabat-sahabatku doakan supaya aku diberikan ketetapan hati agar terus kuat menghadapi dugaan ini. Demikian dulu luahan ringkas aku kali ini. Semoga bertemu lagi.

Tuesday, 17 April 2012

Mencari Ketenangan

Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang.
Ada orang berkata, "ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?"
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan "membaca" kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli).
Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan. Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli.
Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af'al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.

Dimensi Kata, Rasa Dan Tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi "hadiah" kepadanya. Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai..." (Surah At Tahrim: 8)
Firman Allah lagi:
"... Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri." (Surah Al-Baqarah: 222)
Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kita?
Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.
Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!
Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:
Rasa kehambaan. Rasa bertuhan. Memahami maksud takdir. Mendapat hikmah di sebalik ujian.
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.
Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
Rasa Kehambaan
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:
"Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman." (Surah At Taubah: 51)
Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita "memberontak" hati akan bertambah kacau.
Imam Ghazali pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah "memberontak" kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya.
Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya.
Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu "demonstrasi" seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja' – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:
"...Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali." (Surah Al-Baqarah: 156)
Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja'?
Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.
Rasa Bertuhan
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah.
Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, "la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!"
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa.
Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah.
Firman Allah:
"Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat." (Surah Al-Baqarah)
Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:
"Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana." (Surah Al-Fath: 4)
Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: "Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan." – Al Hadis
Memahami Maksud Takdir Allah
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can't direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita adalah hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
"Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya." (Surah Al-Baqarah : 216)
Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, "barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang."
Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan... mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.
Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.
Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: "Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik."
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih "kerja Tuhan" yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: "It's not what happens to you, but it's what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!"
Mendapat Hikmah Bila Diuji
Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh "mehnah" – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya.
Rasulullah s.a.w. bersabda, "perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!"
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.
Ringkasnya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.
Firman Allah: "Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" (Surah Al-Baqarah: 214)
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: "Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah."
Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.
Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita.
Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat... hanya berada di dalam hati sendiri!

sumber :- http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/1246-mencari-ketenangan-hati.html